REFLEKSI MINGGU KETUJUH
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada minggu ketujuh iaitu pada 22 sehingga 28 Oktober merupakan minggu konvokesyen kelima puluh enam dan minggu ini sangat sibuk. Terdapat segelintir kuliah dan juga tutorial dibatalkan kerana ramai pensyarah yang terpaksa terlibat dalam upacara besar itu dan juga kerana banyak dewan kuliah digunakan untuk melancarkan majlis tersebut. Walaupun kelas dibatalkan, namun terdapat tugasan yang harus diselesaikan.
Seperti biasa, pembahagian kumpulan telah ditetapkan. Saya
amat suka dengan pendekatan yang digunakan oleh Dr dalam pembahagian ahli
kumpulan kerana caranya berbeza-beza. Pada kali ini, saya berkumpulan denga
Grace dan Farizuan yang hanya menggelarkan dirinya sebagai Wawan.
Tugasan pada kali ini adalah kami dikehendaki menghasilkan
video animasi dengan menggunakan aplikasi ‘Sparkol’ atau ‘Pawtoon’ mengenai
segalanya berkaitan tentang morfem bahasa Melayu merujuk Katamba dan Booij.
Tarikh akhir tugasan ini ialah pada 26 Oktober. Kami telah melakukan
perbincangan walaupun kesuntukkan masa kerana masing-masing mempunyai komitmen
yang lain juga. Kami telah sepakat suara untuk menghasilkan video tersebut
dengan menggunakan aplikasi ‘Pawtoon’. Aplikasi ‘pawtoon’ sering saya
melihatnya di banyak video dan pada kali ini, saya berpeluang untuk mempelajari
cara menggunakannya. Alhamdulillah, dengan kerjasama yang bagus antara kami,
tugasan ini dapat dihantar pada tarikh yang telah ditetapkan.
Tugasan seterusnya ialah kami dikehendaki bergambar di papan
tanda ‘I AM USM’ yang terletak dihadapan Dewan Tunku Syed Putra (DTSP). Tempat
ini merupakan tempat yang menjadi tumpuan para graduan untuk merakam kenangan
mereka. Walaupun minggu tersebut ramai graduan yang mencari tempat yang cantik
untuk bergambar namun itu bukanlah masalah bagi kumpulan kami dan juga pelajar
morfologi yang lain. Sewaktu kami sampai di tempat tersebut, kami melihat
sebuah keluarga sedang bergambar. Kami menunggu sehingga mereka selesai
bergambar. Selepas mereka selesai sesi fotografinya, kami meminta tolong salah
seorang daripada mereka untuk mengambil kami. Dia terus bersetuju dan dia juga
mesra dan tidak kekok. Gambar kami diambil. Selepas itu, sebaik sahaja kami
berkemas untuk pulang, dia memanggil dan meminta bantuan daripada kami untuk
mengambil gambar keluarganya. Keluarga tersebut kelihatan mesra dan peramah. Melihat
mereka yang bergambar bersama seorang perempuan yang berjubah konvokesyen
membuatkan saya tidak sabar untuk bergraduasi dan meraikan hari tersebut
bersama keluarga tersayang. Secara tidak langsung, kami dapat bertegur sapa
dengan orang lain dan bukan hanya ahli kumpulan kami sahaja.
Sekian, itu sahaja daripada saya. Terima kasih.


