Thursday, December 20, 2018

REFLEKSI KESELURUHAN HMT223 - MORFOLOGI

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Refleksi pada kali ini merupakan refleksi yang terakhir bagi kursus HMT223 Morfologi Bahasa Melayu. Terlebih dahulu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr terutamanya dan juga rakan-rakan seperjuangan dalam tutorial mahupun dalam kuliah kerana telah memberikan tunjuk ajar yang begitu baik kepada saya. 

Saya amat teruja semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kuliah mahupun di dalam tutorial. Penggunaan aplikasi dan juga bahan rujukan diberikan bagi memudahkan pelajar. Sepanjang pengajian saya di USM, kursus inilah kursus yang paling aktif penglibatan saya kerana kami berebut untuk menjawab soalan yang dikemukakan kerana merasakan tiada jurang di antara pensara dan pelajar. 

Sejujurnya, saya amat mengagumi cara pengajaran yang dilakukan oleh Dr dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang belum pernah saya gunakan. Aplikasi seperti ‘kahoot!’, ‘flipgrid’, ‘mentimeter’, ‘padlet’, ‘infografik’, ‘powtoon’, ‘Edpuzzle’, ‘google site’ dan mungkin ada lagi yang belum saya nyatakan sangat menarik dan menghiburkan saya setiap kali kurusus ini dijalankan. Bahan rujukan seperti nota juga Dr berikan di dalam kelas dan hanya sekali dua sahaja kami hanya perlu mengambil di depan bilik Dr. Semoga Dr dimurahkan rezeki. Amin… :)


Seperti yang diketahui oleh semua pelajar bahawa markah kerja kursus untuk subjek ini adalah tinggi iaitu sebanyak 70% dan pastinya memerlukan tugasan yang lebih bagi mendapatkan markah 70% tersebut. Saya sering mendengar suara-suara yang kurang menyenangkan yang mengatakan bahawa pelajar yang mengambil major atau minor bahasa Melayu pasti akan membuat tugasan lebih atau banyak. Walaupun saya memang mengetahui bahawa setiap kursus yang mempunyai pemberat yang tinggi pada bahagian kerja kursus, tetapi ia tidak sedikit pun memberi kesan kepada saya. Semasa mengambil penghantar, saya berhasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai major tetapi nasib tidak menyebelahi saya, saya hanya mendapat minor sahaja. Setiap kerja yang diberikan oleh Dr, disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan samaada individu mahupun kumpulan. Semasa aktiviti dalam kumpulan, setiap ahli kumpulan memberikan kerjasama yang sepenuhnya walaupun terikat dengan hal-hal yang lain. Kepada pelajar yang pernah berkumpulan dengan saya, terima kasih saya ucapkan.


Terima kasih kepada Dr atas ilmu dan juga perkongsian rohani 
Sekian, ini sahaja daripada saya. Terima kasih yang tidak terhingga.

                           


                                      Tuan Puteri pergi ke Rasah, 
                                          Pulang semula sebelah pagi; 
                                      Kita bertemu akhirnya berpisah,
                                         Diizin tuhan bersua lagi. 
 

Thursday, November 29, 2018

REFLEKSI MINGGU KEDUA BELAS

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 


Kelas tutorial minggu ini dibatalkan. 

Selasa 27 November 2018 (8000-0850)

Pada pagi Selasa, kami dimaklumkan bahawa terdapat gangguan jaringan wifi. Saya menjangkakan gangguan tersebut hanya berlaku di Kompleks Restu, Saujana dan Tekun (RST). Apabila sampai di dewan Kuliah J, rupa-rupanya juga ternyata adanya gangguan internet. Saya membuat persediaan awal dengan melanggan data saya sendiri sebelum Dr masuk ke dalam kelas sekiranya Dr ingin membuat kuiz. Seperti biasa, pembelajaran dimulakan dengan membaca ayat suci Al-Quran. Dr ingin mengadakan kuiz melalui aplikasi Kahoot. Boleh dikatakan setiap pelajar mengadu akan masalah internet dan Dr mengarahkan untuk menggunakan data sendiri. Ketika sedang kalut menyambungkan kepada internet, tiba-tiba datang seorang pelajar untuk meminta kebenaran bagi menyampaikan manifestonya sempena Pilihan Raya Kampus. Ketika calon Majlis Perwakilan Pelajar menyampaikan manifestonya, saya sedang kalut untuk berusaha menyambungkan kepada internet tetapi gagal walaupun sudah melanggannya. Tetapi, dengan jasa baik Asmida Mohd Noor untuk menggunakan wifinya, internet dapat disambungkan. Calon-calon MPP yang berada di hadapan kelas ternyata hebat semuanya dengan mengemukakan manifesto masing-masing. Diharapkan pelajar dapat membuat undian yang betul. Kuiz kahoot dimulakan. Dr menguji kami dengan melihat gambar-gambar yang dipaparkan selama 5 saat. Aktiviti ini juga dikenalishort term memory.Kami juga diuji dengan soalan yang berkaitan kuliah minggu lepas iaitu ujian diagnostik kelas kata leksikal dan bukan leksikal, argumen dan lain-lain. 

   

Khamis 29 November 2018 (1000-1050)

Kelas dimulai dengan membaca Al-Fatihah dan Dr meminta agar menyimpan telefon bimbit dan memberikan fokus. Dr memberi nasihat mengenai pentingnya pemilihan kursus subjek bahasa Melayu. Dr juga memberikan info yang selama ini saya tidak tahu iaitu mengenai pemakaian seorang guru semasa sedang bekerja. Kuliah diteruskan dengan topik baru iaitu penggandaan. Subtopik yang berada di bawah penggandaan iaitu penggandaan seluruh kata, penggandaan kata dasar dan penggandaan separa. Dr juga menarngkan kata ganda bagi bahasa Agta mengikut templatenya tersendiri iaitu tingkat skeletal, pengulangan melodi, pemetaan dari kiri ke kanan, pengguguran dan output. Segala penerangan tambahan dicatat kerana menurut Dr, Dr hanya memberikan rangka kursus. 


Sekian, itu sahaja daripada saya. Terima kasih. 

REFLEKSI MINGGU KESEBELAS

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 


Kuliah pada hari selasa dibatalkan kerana umat Islam menyambut Maulidur Rasul iaitu ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW. 



Isnin 19 November 2018 (1100-1150)

Seperti dimaklumkan bahawa Dr memang memberikan pelbagai kelainan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kali ini, kelas tutorial diadakan di ruang pameran Perpustakaan Hamzah Sendut. Semua pelajar telah dimaklumkan bahawa kuiz akan diadakan pada waktu tutorial.  Sebelum kelas tutorial dijalankan, Dr telah memberikan tugasan prakuiz sebagai persiapan untuk menjawab kuiz yang sebenar. Sebelum kuiz bermula, saya menyangkakan bahawa kuiz perlu dijawab berdasarkan instrumen yang terdapat pada kertas dan hanya duduk di sofa sahaja. Namun ternyata sangkaan saya meleset. Dr amat bijak untuk memberikan kami pendedahan dengan membaca isi pameran yang telah dilakukan oleh pelajar kursus lain bagi menjawab soalan kuiz tersebut. Sebelum memmulakn kuiz, kami berswafoto. Kuiz dilakukan secara berpasangan dan pasangan saya ialah Nik Erney Shafira Bt Nik Ismail. Kami diberikan masa selama 45 minit untuk menjawab kuiz tersebut. Banyak paparan yang disediakan dan kami hanya perlu mencari perkataan yang ditanya. Secara tidak langsung, kami akan membaca kerja yang dilakukan oleh pelajar lain bagi memahami setiap ayat yang disampaikan. Saya melihat, rakan sekelas saya mencari maklumat sambil bergelak ketawa, mungkin kerana kuiz tersebut dilakukan di tempat terbuka dan tergesa-gesa untuk menyiapkan kuiz dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sejujurnya, saya amat terhibur dan merasakan bahawa aktiviti sebegini sangat bagus. Aktiviti ini seperti dalam rancangan ‘explorace’. 












Khamis 22 November 2018 (1000-1050)

Pada 21 November, warga USM dikejutkan dengan pemergian seorang pensyarah Ilmu Kemanusiaan iaitu Profesor Madya Dr Rahimah Binti A. Hamid. Kami memulakan pembalajaran dengan membaca doa dan mensedekahkan Al Fatihah buat beliau. Al fatihah. 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اَالْحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَ
اَلرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
مٰلِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ
اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ
اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ
صِرَاطَ الَّذِ يْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ ۙ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّآلِّيْنَ
آمِيْنَ

Pada kuliah kali ini, kami membuat ulangkaji tentang pengenalpastian kelas kata dan ujian diagnostik kelas kata leksikal dan bukan leksikal. Kata nama terdapat sifat penentuan, keserasian, bilangan dan kepunyaan. Kata kerja pula mempunyai konsep waktu dan konsep suasana. Kami juga diberi pendedahan dengan penggunaan perkataan Argumen. Argumen bermaksud unsur yang wajib hadir dalam sesuatu ayat dan diperlukan oleh kata kerja. Kata kerja tak transitif mempunyai satu argumen, kata kerja ektransitif dua argumen dan kata kerja dwitransitif mempunyai 3 argumen. Segala penerangan dicatat. Selepas itu, Dr ingin mengadakan kuiz dalam aplikasi Kahoot, tetapi terdapat masalah sambungan wifi. 



Sekian, itu sahaja daripada saya. Terima kasih yang tidak terhingga untuk Dr dan juga rakan-rakan yang membantu. 💞

Thursday, November 15, 2018

REFLEKSI MINGGU KESEPULUH


Assalamualaikum dan salam sejahtera. 


Kelas tutorial berjalan seperti biasa. Setelah selesai membaca doa, Dr meminta kami untuk mencari pasangan atau maksima 3 orang untuk melakukan tugasan. Ahli kumpulan saya ialah Nur Amirah dan Nur Aima. Tugasan tersebut mengenai golongan kata nama. Kami diberikan masa selama 20 minit untuk menjawab soalan tersebut. Perbincangan tersebut sedikit sebanyak menguji kefahaman saya terhadap nota yang saya telah baca iaitu tajuk Rencana Linguistik yang mengandungi bahagian Morfologi seperti yang dipesan oleh Dr untuk membacanya. Saya juga ada membuat sedikit nota ringkas berdasarkan pemahaman saya terhadap nota tersebut. Semasa perbincangan dijalankan, saya menyedari bahawa saya sedikit aktif menjawab soalan yang dikemukan oleh Dr. Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana sedikit ilmu yang telah saya baca pada malam sebelum kelas tutorial. Melalui perbincangan tersebut, ternyata saya semakin jelas dalam menentukan golongan kata. Pada hari tersebut, saya hanya memakai tudung sarung yang ringkas. Tudung sarung ini jarang dipakai ollen pelajar perempuan kerana memperlihatkan seseorang itu tidak menarik. HAHAHA. Rakan-rakan yang lain memerli saya dengan mengatakan saya banyak menjawab soalan hanya kerana memakai tudung sarung. Apalah salah tudung sarung ini.😂


Sementara menunggu pukul 10, saya ada berbual dengan rakan saya. Saya memberitahunya bahawa saya sedikit mengantuk kerana telah berjaga lewat malam dan berharap Dr melakukan sedikit senaman Taichi. HIHIHI. Dr meminta kami untuk bangun dan melakukan sedikit senaman. Dr juga ada mengatakan bahawa hari ini tiada kuiz seperti biasanya dilakukan. Saya agak cuak setelah mendengarnya kerana saya takut saya tidak boleh memberikan perhatian sepenuhnya. Saya dan kawan saya ketawa kerana seperti Dr mengetahui hasrat saya untuk melakukan senaman walaupun bukan senaman Taichi. Saya merasakan sedikit segar. Selepas melakukan senaman, Dr memberi nasihat kepada kami untuk menjaga waktu tidur dan mencari masa yang sesuai untuk belajar iaitu antara pukul 10 malam hingga 3 pagi. Ia adalah perkongsian yang sangat tepat kepada saya kerana saya selalu tidur lewat. Pada kuliah ini, Dr memberi penerangan mengenai kelas kata yang ditentukan oleh semantik, morfologi dan sintaksis. Semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan, saya mengakui bahawa saya sedikit mengantuk dan hal ini telah telah menyebabkan pembelajaran saya sedikit terganggu pada hari ini.  


Sebelum kuliah yang kedua pada minggu ini, Dr meminta agar mencari pasangan untuk membina satu padlet satu pasangan dan pasangan saya ialah Ainna Shafiqah. Sekitar jam 9 pagi, Dr meminta untuk mencari lirik lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir. Seperti biasa, kelas dimulakan dengan ayat suci Al-quran bagi memberkati majlis ilmu. Dr meminta agar semua pelajar menyanyikan lagu tersebut sebanyak dua kali. Selepas itu, Dr memberikan masa untuk mencari golongan kata berserta bukti yang menyokong jawapan tersebut. Setelah habis tempoh masa yang dihadkan, Dr mengarahkan agar memuat naik padlet yang dihasilkan di ruangan komen. Saya agak kalut kerana takut tidak sempat untuk memuatnaikkan kerana Dr akan menutup bahagian komen. Penerangan diberikan dengan jelas sekali dan juga Dr juga menegaskan untuk ke berapa kali bahawa Kata Tugas tidak ada dalam bahasa Melayu. 

Sekian, setakat ini sahaja perkongsiaan saya pada kali ini. Terima kasih. 

Thursday, November 1, 2018

REFLEKSI MINGGU KELAPAN
               
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tutorial pada minggu kelapan terpaksa dibatalkan oleh Dr atas sebab-sebab tertentu. Namun begitu, Dr tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk memberikan tugasan kepada kami. Dr telah memaklumkan tugasan dalam aplikasi ‘Mentimeter’ menerusi media sosial seperti Telegram dan juga Facebook. Dalam tugasan tersebut, Dr telah membuka apa-apa sahaja soalan yang berkaitan dengan morfem. Tugasan ini merupakan latihan kepada kami.


Kuliah pada hari Selasa dijalankan seperti biasa. Kelas dimulakan dengan membaca Surah Al-Fatihah dan ini merupakan amalan bagi agama Islam sebelum memulakan majlis ilmu dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Dr meminta kami mengeluarkan telefon bimbit untuk menjawab soalan dalam aplikasi ‘Quizlet’. Setelah menjumpai ahli kumpulan, Dr mengemukakan soalan. Walaupun ahli kumpulan saya terdiri daripada senior-senior, namun itu bukanlah menjadi halangan untuk kami bekerjasama berbincang mengenai kuiz yang diutarakan. Malah, saya turut berasa gembira kerana saya dapat berkumpulan dengan orang yang berbeza. Semasa menjawab soalan-soalan tersebut, saya merasakan bahawa ahli kumpulan kami menjawab dengan cepat. Menurut saya, hal ini kerana kami telah memahami dan menguasai mengenai soalan yang diutarakan. Saya sangat gembira kerana pada hari itu merupakan kali pertama saya berjaya menjadi juara. Hehe. 😄 Terima kasih atas ganjaran yang diberikan kepada kami, Dr. Seperti biasa Dr akan berbincang mengenai soalan yang telah diutarakan dalam kuiz tersebut. Selepas itu, Dr juga berbincang mengenai tugasan yang diberikan iaitu soalan-soalan berkaitan dengan morfem. Alhamdulillah, soalan saya juga turut dijawab dan menjadi perbincangan pada hari itu. Setiap soalan yang menjadi perbincangan telah saya catat. Selepas itu, Dr melakukan sekali lagi kuiz tetapi dalam aplikasi ‘Kahoot’. Aplikasi ini selalu sahaja membuat saya tidak senang duduk kerana terdapat penetapan masa dan juga muziknya yang memainkan peranan. 😩 Walaupun begitu, saya harus mengakui bahawa aplikasi ini bagus kerana segala butiran tersimpan oleh orang yang membuat soalan. Soalon dibicangkan dan menurut saya, bilangan pelajar yang menjawab betul bagi satu-satu soalan semakin meningkat. Nampaknya, palajar dapat menguasai dan memahami mengenai tajuk yang dibincangkan.

Kuliah hari Khamis diteruskan seperti biasa. Kami dikehendaki menjawab soalan dalam aplikasi ‘Mentimeter’ berkaitan kategori leksikal dan kategori bukan leksikal sebelum waktu kuliah dan ini dipanggil 'flipped classroom'. Pada permulaan, saya menghadapi sedikit keraguan ketika membuka aplikasi tersebut kerana yang dipaparkan hanyalah mengenai undia atau voted semata-mata. Setelah beberapa jam kemudian, saya cuba untuk membuka membukanya semula dan berjaya untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Saya merasakn bahawa ada juga pelajar yang menghadapi masalah seperti saya. Dr membaca dan berbincang jawapan yang diberikan oleh pelajar. Selepas itu, nota diberikan mengenai tajuk kategori leksikal dan kategori bukan leksikal. Maklumat tambahan dicatat dalam nota yang diberikan.
















Sekian, itu sahaja daripada saya. Terima kasih, Dr atas perkongsian ilmu. Semoga diberkati Ilahi. 

Tuesday, October 30, 2018

REFLEKSI MINGGU KETUJUH


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada minggu ketujuh iaitu pada 22 sehingga 28 Oktober merupakan minggu konvokesyen kelima puluh enam dan minggu ini sangat sibuk. Terdapat segelintir kuliah dan juga tutorial dibatalkan kerana ramai pensyarah yang terpaksa terlibat dalam upacara besar itu dan juga kerana banyak dewan kuliah digunakan untuk melancarkan majlis tersebut. Walaupun kelas dibatalkan, namun terdapat tugasan yang harus diselesaikan.


Seperti biasa, pembahagian kumpulan telah ditetapkan. Saya amat suka dengan pendekatan yang digunakan oleh Dr dalam pembahagian ahli kumpulan kerana caranya berbeza-beza. Pada kali ini, saya berkumpulan denga Grace dan Farizuan yang hanya menggelarkan dirinya sebagai Wawan.







Tugasan pada kali ini adalah kami dikehendaki menghasilkan video animasi dengan menggunakan aplikasi ‘Sparkol’ atau ‘Pawtoon’ mengenai segalanya berkaitan tentang morfem bahasa Melayu merujuk Katamba dan Booij. Tarikh akhir tugasan ini ialah pada 26 Oktober. Kami telah melakukan perbincangan walaupun kesuntukkan masa kerana masing-masing mempunyai komitmen yang lain juga. Kami telah sepakat suara untuk menghasilkan video tersebut dengan menggunakan aplikasi ‘Pawtoon’. Aplikasi ‘pawtoon’ sering saya melihatnya di banyak video dan pada kali ini, saya berpeluang untuk mempelajari cara menggunakannya. Alhamdulillah, dengan kerjasama yang bagus antara kami, tugasan ini dapat dihantar pada tarikh yang telah ditetapkan.


Tugasan seterusnya ialah kami dikehendaki bergambar di papan tanda ‘I AM USM’ yang terletak dihadapan Dewan Tunku Syed Putra (DTSP). Tempat ini merupakan tempat yang menjadi tumpuan para graduan untuk merakam kenangan mereka. Walaupun minggu tersebut ramai graduan yang mencari tempat yang cantik untuk bergambar namun itu bukanlah masalah bagi kumpulan kami dan juga pelajar morfologi yang lain. Sewaktu kami sampai di tempat tersebut, kami melihat sebuah keluarga sedang bergambar. Kami menunggu sehingga mereka selesai bergambar. Selepas mereka selesai sesi fotografinya, kami meminta tolong salah seorang daripada mereka untuk mengambil kami. Dia terus bersetuju dan dia juga mesra dan tidak kekok. Gambar kami diambil. Selepas itu, sebaik sahaja kami berkemas untuk pulang, dia memanggil dan meminta bantuan daripada kami untuk mengambil gambar keluarganya. Keluarga tersebut kelihatan mesra dan peramah. Melihat mereka yang bergambar bersama seorang perempuan yang berjubah konvokesyen membuatkan saya tidak sabar untuk bergraduasi dan meraikan hari tersebut bersama keluarga tersayang. Secara tidak langsung, kami dapat bertegur sapa dengan orang lain dan bukan hanya ahli kumpulan kami sahaja. 





Sekian, itu sahaja daripada saya. Terima kasih. 

REFLEKSI KESELURUHAN HMT223 - MORFOLOGI

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA. Refleksi pada kali ini merupakan refleksi yang terakhir bagi kursus HMT223 Morfologi Bahasa Melayu....